Monday, August 9, 2010
Bumi Cinta- Habiburrahman El Shirazy
Sebenarnya saya tidak tahu di mana asalnya minat saya membaca novel ini. Semuanya satu kebetulan. Dalam mencari "benda" lain, saya terjumpa naskhah ini. Jadi saya kira saya bertuah kerana 'terjerumus" dalam kebetulan ini.
Jujur, saya tidak pernah membaca sebarang novel dari Habiburrahman El Shirazy. Mungkin kerana bertemu dengan filem- filem adaptasi novel beliau terlebih dahulu, maka saya hanya tertumpu kepada watak- watak dalam Ayat- Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Ketiga-tiganya saya suka (ketiga- sebab KCB ada 2 siri) tetapi sekali lagi saya mesti jujur, kesemua filem beliau saya tonton berulang kali mungkin sebab untuk lebih memahami mesej beliau yang sarat dengan unsur ilmu dan dakwah.
Tetapi Bumi Cinta ini berbeza, sebab saya kenali naskhah ini terlebih dahulu dari filemnya (Mungkinkah ada? saya tidak tahu). Dan saya optimis dengan karya beliau yang lain daripada yang lain. Haruskah saya membandingkan dengan sebahagian novel-novel Melayu yang kitar plotnya saya kira sama sahaja? Mungkin tidak. (tetapi bukanlah saya menunding jari ke arah semua novel Melayu. Tidak ada generalisasi di sini. )
Bumi Cinta berkisar tentang pencarian Ayyas untuk melanjutkan ilmu di bumi Moscow. Pencarian yang membawa Ayyas kepada wanita-wanita yang digambarkan sebagai cantik dan menggoda iman beliau sebagai seorang yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Yelena dan Linor, dua rakan serumah Ayyas yang tidak putus-putus menguji kesabaran Ayyas dan juga Dr Anastasia, pembimbing Ayyas bagi menggantikan Prof Abraham Tomskii
Keempat-empat watak ini saya kira boleh disimpulkan dalam satu persamaan. Iaitu mencari. Ayyas, seorang muda yang sederhana tetapi sudah melanjutkan pelajaran ke merata-rata tempat memilih Moscow dan tajuk "Sejarah Islam di Rusia." sebagai tajuk kajian beliau. Yelena, seorang "agen pelancongan" yang hilang dalam penafian beliau tentang kewujudan Tuhan. Linor, agen perisik Zionis yang cekap menukar identiti beliau hingga ke beberapa negara, tetapi sebenarnya masih lagi mencari siapa diri beliau sendiri. Dr Anastasia Palazzo, seorang wanita yang digambarkan sebagai sempurna dengan kebijakan dan keanggunan beliau, serta ketaatannya dalam beragama Kristian juga sentiasa mencari jawapan dalam setiap perilaku Ayyas.
Novel ini menarik, bukan kerana gambaran Ayyas sebagai lelaki yang "hampir sempurna", dan tiada juga babak babak cinta yang mendayu-dayu digambarkan, tetapi kerana ia sarat dengan pengetahuan. Pengetahuan tentang kajian sains dan kaitannya dengan kandungan Al-Quran, sejarah Rusia ketika penaklukan Stalin dan Lenin, keunikan bandar-bandar di Rusia dan sebagainya. Kebolehan Ayyas dalam menerangkan konsep kewujudan Tuhan dan agama Islam yang syumul nyata dalam dialog dialog beliau ketika berhujah dalam persidangan mahupun rancangan di televisyen. Kepetahan beliau dalam menjawab segala persoalan Dr Anastasia Palazzo yang pessimis terhadap dunia Islam jelas terbukti, dan segala keraguan Anastasia dijawab dengan hormat terhadap pembimbingnya yang berlainan agama itu.
Yang saya suka, novel ini tidak cliche jalan ceritanya. Walaupun tidak se"ekstrem" Fahri (ayat-ayat cinta) yang difitnah atau dipenjara, ataupun Furqan (KCB dan KCB2) yang hampir dianiaya virus HIV, jalan cerita tetap dikuasai sama rata dengan perjalanan hidup watak-watak utama seperti Ayyas, Yelena, Linor dan Dr Anastasia Palazzo. Mungkin sebab jalan ceritanya dibaca, bukan ditonton di skrin atau sebagainya (bila membaca, akan lebih menggunakan imaginasi untuk menggambarkan jalan cerita, bagi saya).
Tetapi, jawapan kepada akhir cerita yang tergantung (tentang Linor dan Ayyas) saya tetap nantikan, walaupun ada sedikit kekecewaan di situ.
Buku yang sangat menguntungkan pembacanya. Hanya RM25.90- Bumi Cinta, Habiburrahman El Shirazy.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Hmmm... aku try baca iA. Puasa ni mcm byk free time.
ReplyDeleteBtw, Malcolm X review otw! ; )
okay! :)
ReplyDeleteade jual online tak? okay nak try cari la. KCB baru bace buku first die je.
ReplyDeletethanks aini babeh!
p/s: BM yang bagus! saya suka :)
Online not sure. If you're interested I can but and post it for you!
ReplyDelete