Penulisan Hamka bukanlah mudah untuk difahami oleh insan yang buta seni bahasa seperti saya. Tetapi gaya bahasa, santun dan kemas tulisannya sangat menarik hati untuk membaca naskah “Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck” sehingga ke helaian yang terakhir.
Perjalanan cinta Zainuddin dari tanah Mengkasar sehingga ke Surabaya disusun dengan sangat kemas sehingga saya sentiasa tertanya pengakhiran naskah ini. Namun ada sedikit ralat sepanjang membaca kerana saya tercari-cari kolerasi antara tajuk naskah ini dengan jalan ceritanya. Akhirnya baru saya sedar bahawa penulis mahu mengakhiri perjalanan hidup Zainuddin selepas tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bersama cintanya, Hayati.
Kisah sedih Zainuddin, bagaimana merana dan melaratnya hidup setelah kematian ibu sejak kecil, ayah juga pergi setelah bertahun hidup dalam pembuangan, serta cinta yang ditolak dek kerana adat yang menjunjung asal bangsa seseorang. Zainuddin bangun semula dari segala kedukaan, membuka lembaran baru dalam hidup dan berubah menjadi seorang penulis yang ternama dan berjaya. Menceritakan tentang kesetiaan, cinta dan kasihnya Zainuddin terhadap Hayati, gadis yang pernah berjanji sehidup semati namun mengkhianati cinta sejati.
Di akhirnya, penulis bermain dengan perasaan pembaca apabila Hayati kembali menagih kasih daripada Zainuddin setelah diceraikan suami yang telah membunuh diri. Disebalik sifat baik Zainuddin yang ditonjolkan, terselit sedikit sifat negatif seperti dendam walaupun sebenarnya masih ada cinta. Tindakan Zainuddin yang menolak cinta Hayati dan menyuruh Hayati pulang ke kampung halamannya dengan Kapal Van Der Wijck akhirnya menjadi pengakhiran sebuah kisah cinta.
Cerita cinta ini disampaikan oleh Hamka melalui surat-surat yang ditulis oleh Zainuddin dan Hayati juga tidak ketinggalan surat Khadijah,sahabat baik Hayati. Membaca surat-surat ini akan membawa kita melayang ke dunia dan zaman mereka. Sebuah cerita yang menyayat hati. Soal pangkat, darjat, wang dan adat bijak dimainkan oleh penulis.
“ Di belakang kita berdiri satu tugu yang bernama nasib, disana telah tertulis rol yang akan kita jalani. Meskipun bagaimana kita mengelak dari ketentuan yang tersebut dalam nasib itu, tiadalah dapat, tetapi harus patuh kepada perintahnya”.
Tetapi saya juga percaya Dia tidak akan mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak mahu mengubahnya.
nota : Kami di The Buku Project ingin mengucapkan terima kasih atas setiap ulasan yang diberikan dan mengalu-alukan ulasan yang lain. Ulasan yang menarik ini telah ditulis oleh seorang rakan kami yang mahukan identiti beliau dirahsiakan. Tambah beliau lagi, buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck lebih menarik berbanding Titanic. Mungkin peminat Titanic ada sesuatu untuk diperkatakan? :)
hamka is one of the most prolific scholars..try to read on tasawuf moden,and falsafah ketuhanan..i have another novel that he wrote,but cant remember the title..it is bout love,marriage and women...gud 2 have such scholars like hamka
ReplyDelete